Campak isteri positif Covid-19 keluar tingkap

Kerana bimbang dijangkiti Covid-19, seorang suami mencampak isterinya keluar tingkap dari tingkat lima sebuah apartmen di Kaherah, Mesir selepas wanita itu positif virus maut berkenaan.

Arab News melaporkan, wanita berusia 25 tahun itu selamat tetapi patah tulang belakang.

Jiran yang melihat wanita itu terbaring di atas tanah segera menghubungi ambulans dan membawanya ke hospital.

Lelaki itu yang ditahan selepas kejadian berkenaan memberitahu polis, mereka sering bertengkar dan merancang untuk bercerai.

Hubungan mereka semakin buruk selepas wanita itu disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

“Saya bimbang turut dijangkiti virus itu. Isteri saya mengambil tiga ujian dan semuanya menunjukkan dia positif Covid-19.

“Saya mengarahkannya keluar dari rumah ini tetapi dia enggan. Saya kemudiannya menolaknya keluar,” katanya.

Dr Aly Mazyad dari Hospital Universiti Ain Shams di Kaherah berkata, hospital menyediakan bilik pembedahan khas di wad kuarantin supaya wanita itu boleh menjalani pembedahan tulang belakang.

“Wanita itu tidak mengalami gejala Covid-19 yang teruk tetapi keadaannya agak parah kerana patah tulang belakang.

“Dia mungkin mengambil masa selama beberapa bulan untuk pulih,” katanya.

Polis memberitahu, polis menunggu wanita itu stabil selepas pembedahan untuk mengambil keterangannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *