Dihentak sampai mati kerana minta aiskrim

Kerana hanya meminta wang untuk membeli aiskrim, dua beradik mati dalam keadaan menyedihkan apabila kepala dihentak ke dinding oleh bapa tiri mereka sebelum dibuang ke dalam longkang.

Dalam kejadian di Medan, Indonesia pada AHad lalu itu, mayat dua beradik Fatahillah, 10, dan Rafa, 5, ditemui dalam keadaan menyedihkan di kawasan sekolah berhampiran rumahnya.

Menurut laporan media Indonesia, dua beradik berkenaan tinggal di rumah bersama bapa tiri mereka yang berusia 30 tahun manakala ibunya keluar bekerja.

Ketika di rumah, dua beradik berkenaan meminta wang daripada lelaki itu untuk membeli aiskrim menyebabkan suspek berang.

Kerana berang, lelaki itu memukul dua beradik berkenaan sebelum mencekik dan menghentak kepala mereka ke dinding hingga mati.

Panik melihat dua beradik itu udah tidak bernyawa, lelaki itu membawa mayat mangsa ke sebuah sekolah dan membuangnya ke dalam longkang sebelum melarikan diri.

Apabila ibu mangsa pulang ke rumah, dia terkejut melihat dua anaknya tiada dan segera menghubungi suaminya.

Lelaki itu kemudiannya memberitahu isterinya supaya mencari dua beradik itu di kawasan sekolah yang terletak berhampiran rumah mereka.

Wanita itu bersama penduduk kampung mencari kanak-kanak itu di kawasan sekolah sebelum menemui mayat Fatahillah di satu sudut bangunan.

Mayat Rafa pula ditemui di dalam longkang berhampiran dan ditutup dengan kotak.

Susulan penemuan mayat itu polis menangkap ayah tiri mangsa yang kemudiannya mengaku membunuh dua beradik berkenaan.

“Iya benar, suspek sudah ditangkap. Suspek adalah ayah tiri korban,” kata jurucakap polis Medan Kota, Ainul Yakin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *