Lelaki potong tangan untuk tuntut wang insurans

Dah la tangan putus, insurans satu sen pun tak dapat dan kena penjara pula.

Itulah nasib seorang lelaki di Dortmund, Jerman didapati sengaja memutuskan pergelangan tangan kirinya semata-mata untuk menuntut pampasan insurans berjumlah £6 juta (RM32.26 juta).

Christian W, 45, yang bekerja sebagai pemborong mendakwa dia terjatuh di landasan kereta api pada Oktober 2018 yang menyebabkan pergelangan tangan kirinya putus.

Namun, mahkamah daerah di Dortmund mendapati lelaki itu menipu dan dia sebenarnya sengaja terbaring di landasan kereta api berkenaan supaya tangannya putus.

Menurut mahkamah, Christian menyelinap masuk ke setsen kereta api Nordbögge pada waktu malam dan membawa skuter milik anak perempuannya.

Ketika itu sebuah kereta api berada di platform dan bersedia untuk bergerak.

Lelaki itu kemudiannya mencampak skuter berkenaan sebelum dia berbaring dan meletakkan tangan kirinya di atas landasan berhampiran kereta api seolah-olah dia terjatuh.

Apabila kereta api itu bergerak ia terus memotong tangan Christian. Lelaki itu kemudiannya dikejarkan ke hospital tetapi doktor gagal menyambung semula tangannya.

Pendakwa raya memberitahu, sebelum kemalangan itu, Christian mengambil enam insurans kemalangan yang bernilai kira-kira £6 juta.

Ketika dirawat di hospital, lelaki itu menghantar surat tuntutan kepada syarikat insurans berkenaan.

Bagaimanapun, syarikat insurans berkenaan dan juga pihak berkuasa meragui dakwaan lelaki itu serta kemalangan yang menimpanya.

Mahkamah baru-baru ini memutuskan Christian terbabit dalam penipuan terhadap syarikat insurans.

Dia dihukum penjara dua setengah tahun dan tidak layak menerima sebarang pampasan dari syarikat insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *