Panjat ambulans halang jenazah ibu dikebumikan

Seorang wanita di Sulawesi Selatan memanjat bahagian hadapan ambulans bagi menghalang jenazah ibunya yang meninggal dunia akibat strok dikebumikan mengikut protokol Covid-19.

Dalam satu video yang viral menunjukkan Andi Arni Esa Putri Abraham bersama keluarganya cuba menghalang jenazah ibu mereka dibawa keluar dari sebuah hospital di Sulawesi Selatan untuk dikebumikan.

Andi Arni Esa Putri Abraham

Jenazah wanita itu yang diletakkan di dalam keranda kemudiannya dibawa masuk ke dalam sebuah ambulans yang sedia menunggu diluar hospital.

Ketika ambulans itu mahu bergerak Andi dalam keadaan menangis terus naik di atas bahagian kenderaan itu dan merayu supaya mereka berhenti.

Bagaimanapun, wanita itu dihalang petugas kesihatan dan polis sebelum ambulans itu terus bergegas pergi.

Andi dalam satu temuramah mendakwa, ibunya dimasukkan ke hospital akibat strok sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Katanya, keluarganya mahu membawa jenazah ibu mereka untuk dikebumikan di kampung halaman mereka di Bulukumba tetapi pihak hospital mahu pesakit itu dikebumikan mengikut protokol Covid-19.

“Umi saya meninggal dunia akibat strok. Doktor mengesahnya ketika dirawat dan saya menjaga umi hingga dia meninggal dunia di hospital.

“Saya memeluknya dan mempertahankan umi sehingga dia dibawa oleh petugas. Saya turut sujud dan mencium kasut seorang doktor merayu agar jenazah umi dikebumikan secara biasa,” katanya.

ANDI memanjat bahagian depan ambulans bagi menghalang ibunya dikebumikan

Ujarnya, pada mulanya pihak hospital meminta dia dan bapanya keluar dari bilik mayat untuk berbincang tetapi secara senyap-senyap jenazah ibunya dikafankan mengikut protokol Covid-19.

“Apabila kami keluar, mereka mengkafankan jenazah ibu, memandikan secara tayyamun dan disolatkan sebelum diletakkan di dalam keranda.

“Saya cuba menahan mereka daripada membawa jenazah ibu tetapi mereka terus membawanya ke dalam ambulans.

“Sebagai usaha terakhir saya memanjat ambulans dan adiknya saya berbaring di jalan untuk menghalangnya tetapi kami ditarik oleh polis sebelum ambulans itu terus ke tempat pengebumian,” katanya.

Selepas dihalang, mereka mengejar ambulans itu menaiki motosikal dan apabila sampai ke tanah perkuburan untuk mangsa Covid-19 mereka sekali lagi dihalang.

“Kami hanya mampu menangis dan melihat dari jauh jenazah umi dikebumikan,” jelasnya.

Andi berkata, ujian swap terhadap jenazah ibunya baru-baru ini menunjukkan bahawa wanita negatif Covid-19.

Tambahnya, keluarganya tidak berpuas hati dengan layanan pihak hospital itu dan meminta penjelasan dari kerajaan selain mengambil tindakan undang-undang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *