1,000 hotel ditempah di Langkawi “berita palsu”??

Kuala Lumpur – Laporan media mengenai hotel di Langkawi menerima 1,000 tempahan dalam tempoh tidak sampai sejam selepas perdana menteri mengumumkan kebenaran sektor pelancongan beroperasi mengejutkan banyak pihak termasuk agensi pelancongan dan sektor perhotelan itu sendiri.

Bagaimanapun, Persatuan Hotel Malaysia memberitahu perkara itu sebenarnya tidak berlaku walaupun sektor perhotelan berharap ianya benar-benar terjadi.

Satu media perdana pada mulanya melaporkan dakwaan ketua pegawai eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi yang mendakwa dalam tempoh 4 petang hingga 4.45 petang selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, hotel di Langkawi menerima lebih 1,000 tempahan.

“Namun, semakan Persatuan Hotel Malaysia mendapati tidak banyak diketahui mengenai Persatuan Pelancongan Langkawi itu yang mendakwa mewakili hotel dan agensi pelancongan di pulau peranginan popular berkenaan.

“Semakan di laman web juga mendapati ia menawarkan perkhidmatan pelaburan, saham, perbankan, perdagangan wang dan pelbagai lagi. Begitu juga dengan laman Facebook persatuan itu yang tidak aktif.

“Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia, Kedah dan Perlis, Eugene Dass dan ahli di Langkawi mengesahkan tiadan lonjakan tempahan seperti itu,” kata Persatuan Hotel Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambahnya, laporan media itu mencetuskan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan ahli serta pemilik hotel.

Persatuan Hotel Malaysia yang ditubuhkan pada 1974 mempunyai lebih 1,000 ahli di seluruh negara dan menjadi sumber rujukan berkrebiliti untuk industri perhotelan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *