Dari kamera ke gergaji

Dulu memegang kamera dan kini gergaji pula menjadi mainan mereka.

Inilah kisah tiga jurugambar profesional akhbar Utusan yang kini menceburkan diri dalam bidang seni pertukangan kayu selepas syarikat itu ditutup pada Oktober 2019.

Pada mulanya, tiga jurugambar ini Hafiz Johari, Razak Latif dan Nooradzrene Mohd Noor Uchu melakukan pelbagai pekerjaan untuk menampung kehidupan.

Namun, minat yang mendalam seni pertukangan kayu, Hafiz menubuhkan sebuah bengkel dikenali sebagai Kawood.

Hafiz berkata, idea menubuhkan Kawood timbul apabila dia mencipta rak dikenali sebagai Ara Planter Shelf yang diperbuat daripada kayu pinewood ketika di rumah.

“Ketika wabak Covid-19 melanda dan perintah kawalan pergerakkan (PKP) dikuatkuasakan saya mencipta rak ini di rumah sebagai satu hobi.

“Saya kemudiannya memuat naik gambar rak ini di Facebook dan Instagram dan tidak sangka ramai rakan menyukainya serta menempah dengan saya,” katanya.

Pada mulanya, dia menyiapkan 10 tempahan dari rumah tetapi lama kelamaan tempahan meningkat hingga dia tidak menang tangan.

Ujarnya, dia berbincang bersama Razak dan Nooradzrene dan dari situ mengumpul sedikit modal untuk membeli peralatan serta menyewa bengkel kecil di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

“Dalm tempoh enam hari sahaja sambutan yang kami terima sangat menggalakkan dan kami menerima lebih 100 tempahan Ara Planter Shelf.

“Kerana sambutan yang diluar dugaan, setiap tempahan mengambil masa lima hingga ke enam hari untuk disiapkan dan dihantar kepada pelanggan,” katanya.

Buat masa ini Kawood hanya menerima tempahan Ara Planter Shelf tetapi mereka merancang untuk melancarkan lima lagi produk dalam masa terdekat.

Ara Planter Shelf dijual pada harga RM120 dan penghantaran di sekitar Kuala Lumpur adalah percuma. Untuk diluar Kuala Lumpur caj dikenakan bermula dari RM10 hingga RM50 bergantung pada kawasan.

Pelanggan yang berminat untuk menempah Ara Planter Shelf boleh melayari laman Facebook Kawood atau hubungi 016-321 5421 untuk tempahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *