Sejarah hitam pesawat Concorde

Sejak ratusan tahun, manusia sudah terpersona dengan kebolehan untuk terbang.

Apabila kapal terbang pertama di cipta  adik beradik Wilbur dan Orville Wright pada 1903 cita-cita manusia akhirnya tercapai.

Akhirnya kapal terbang menjadi pengangkutan utama dan sudah menjadi kebiasaan bagi manusia.

Namun, perlumbaan untuk mencipta kapal terbang lebih pantas pula muncul.

Hasilnya, hasil kerjasama syarikat Britain dan Perancis lahirnya sebuah pesawat penumpang dikenali sebagai Concorde.

Pesawat dengan reka bentuk tirus dan muncung tajam itu melakukan penerbangan pertama pada 2 Mac 1969 dan memulakan perkhidmatan pada 21 Januari 1976.

Concorde yang menggunakan empat enjin turbo-jet Rolls Royce mampu menyeberangi Lautan Atlantik dalam tempoh kurang tiga setengah jam.

CONCORDE boleh mencapai kelajuan 2,180 kilometer sejam, dua kali ganda lebih laju daripada kelajuan bunyi.

 

Pesawat yang dimiliki oleh Air France dan British Airways mampu mencapai kelajuan 2,180 kilometer sejam, dua kali ganda lebih laju daripada kelajuan bunyi.

Selama 31 tahun berkhidmat dengan rekod keselamatan yang cemerlang, satu tragedi melanda pesawat itu.

Pada 25 Julai 2000, sebuah pesawat Concorde milik syarikat Air France terhempas ketika berlepas di Lapangan Terbang DeGaulle di Paris, Perancis menyebabkan semua penumpang terbunuh termasuk empat mangsa di darat.

Penerbangan 4590 meninggalkan Paris menuju ke New York membawa sembilan kru dan 96 pelancong Jerman yang merancang menaiki kapal persiaran ke Ecuador.

Beberapa saat selepas berlepas, pesawat malang itu terhempas di satu kawasan berhampiran sebuah hotel di Gonesse.

Satu bebola api tercetus dan semua 105 mangsa di dalam pesawat itu terbunuh serta-merta.

KEADAAN pesawat itu yang berkecai dan terbakar selepas terhempas – Agensi

Siasatan mendapati, sebuah pesawat yang berlepas sebelum Penerbangan 4590 menjatuhkan satu kepingan besi di landasan.

Apabila dilanggar Concorde, besi itu menyebabkan tayar pesawat berkenaan pecah dan serpihannya masuk ke dalam satu enjin dan memecahkan tangki minyak, mengakibatkan jet itu terbakar.

Perkhidmatan Concorde disambung semula pada November 2001.

Bagaimanapun, beberapa siri masalah kecil menyebabkan Air France dan British Airways menamatkan perkhidmatan Concorde pada Oktober 2003.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *