Dipenggal bapa kerana cintai lelaki berusia

Cinta terhalang akibat perbezaan usia dan akhirnya nyawa menjadi korban.

Itulah kisah seorang gadis berusia 14 tahun di Iran yang dipenggal bapanya selepas melarikan diri bersama kekasihnya berusia 34 tahun.

Pembunuhan Romina Ashrafi yang berasal dari Talesh kira-kira 320 kilometer dari Teheran
mencetuskan kemarahan orang ramai apabila kisahnya mendapat liputan meluas akhbar akhbar dan media sosial.

Media sosial turut dibanjiri dengan tanda pagar #RominaAshrafi sebagai tanda sokongan kepada gadis itu.

Kisah Romina bermula apabila dia bercinta dengan seorang lelaki, Bahamn Khavari berusia 34 tahun.

Cinta pasangan itu dihalang keluarga Romina kerana perbezaan umur yang ketara antara mereka.

Namun pasangan itu bertekad untuk terus bersama dan Romina mengambil keputusan melarikan diri bersama kekasihnya.

Selepas melarikan diri selama lima hari, Romina akhirnya ditemui polis dan dibawa ke balai polis untuk diserahkan kepada bapanya.

Sebelum dibawa pulang bapanya, Romina merayu kepada polis kerana bimbang dia akan menjadi mangsa kemarahan keluarganya.

Kerana malu dengan tindakan Romina, bapanya mengambil sebilah sabit dan memenggal kepala gadis malang itu ketika dia tidur.

Bapanya menyerah diri kepada polis tidak lama selepas membunuh Romina dan dia kini berdepan hukuman penjara 10 tahun.

Sudah menjadi tradisi di negara Asia Barat, wanita yang dianggap bersalah sekiranya melarikan diri dari rumah dan bukannya lelaki yang memujuk mereka lari.

Biasanya wanita atau gadis ini dibunuh keluarga mereka kerana dianggap mencemarkan maruah keluarga.

Susulan kes Romina itu, Presiden Iran, Hassan Rowhani menggesa Parlimen mencepatkan undang-undang baru untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap kes `pembunuhan maruah’ ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *