Kelar leher guru kerana disuruh solat

Seorang pelajar pondok di Indonesia bertindak menggelar leher guru sendiri kerana berang akibat sering dinasihati jangan meninggalkan solat.

Dalam kejadian pada Isnin lalu itu, guru sekolah pondok Darul Mahmud di Desa Sukaraja, Ogan Komering Ulu Timur, Sumatera Selatan itu cedera parah di leher.

Jurucakap polis, Erlin Tangjaya berkata, suspek yang dikenali sebagai Harun, 24, menggelar leher gurunya, Mustorudin, 55, yang ketika itu sedang solat tahajud.

“Puncanya, suspek marah kerana sering dinasihati supaya rajin solat oleh gurunya sehingga dia menyimpan dendam,” kata Erlin.

Katanya, ketika kejadian Mustorudin menjadi imam solat tahajud di masjid di sekolah itu.

Harun yang turut solat berjemaah secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dan menghampiri Mustorudin dari belakang sebelum menggelar leher mangsa.

Selepas menyerang mangsa, Harun terus melarikan diri dan Mustorudin yang cedera di leher terus dikejarkan ke hospital oleh pelajar yang lain.

Menurutnya, Mustorudin mengalami kecederaan parah di leher tetapi keadaan dilaporkan stabil.

“Suspek ditangkap tidak lama selepas kejadian itu dan kami turut merampas pisau sepanjang 15 sentimeter yang digunakan suspek.

“Suspek dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan mental untuk diperiksa sekiranya mengalami masalah kemurungan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *