Nak rawat tapi dia pula yang mati

Seorang paderi di Cameroon yang mendakwa boleh merawat pesakit Covid-19 dengan menyentuh mereka dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu lalu akibat dijangkiti virus berkenaan.

Frankline Ndifor, 39, yang pernah bertanding pilihan raya presiden pada 2018 mempunyai ribuan pengikut yang menganggapnya sebagai nabi.

Frankline Ndifor

Beberapa minggu lalu ramai pesakit yang positif dan disyaki dijangkiti Covid-19 memenuhi Gereja Kingship International Ministries yang diasaskan Ndifor.

Ndifor kemudiannya meletakkan tangannya pada setiap pesakit dan melakukan ritual untuk mengubati penyakit berkenaan.

Kira-kira seminggu lalu, Ndifor dilaporkan jatuh sakit dan dia kemudiannya meninggal dunia di rumahnya akibat mengalami masalah pernafasan.

Bagaimanapun, pengikutnya tidak percaya Ndifor meninggal dunia dan menganggap lelaki itu bertemu tuhan dan akan dihidupkan semula.

Beratus-ratus pengikut Ndifor berkumpul di depan rumah lelaki itu di bandar Douala selama lapan jam dan menghalang pihak berkuasa membawa keluar mayatnya untuk dikebumikan.

PENGIKUT Ndifor berkumpul bagi menghalang mayat paderi itu dikebumikan

Polis akhirnya terpaksa menyuraikan pengikut Ndifor dan membawa mayat lelaki itu keluar untuk dikebumikan.

Kematian Ndifor itu mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa kerana lelaki itu mungkin menyebarkan virus berkenaan ketika menyentuh pesakit yang mahu diubatinya sebelum ini.

Cameroon ketika ini mencatatkan 3,529 kes Covid-19 dengan 140 kematian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *