Terima biasiswa selepas video dibuli tular

Kisah seorang budak lelaki yang sering menjadi mangsa buli akhirnya berubah selepas videonya dipukul seorang lelaki tular di media sosial hingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Rizal, 12, membantu keluarganya dengan menjual kueh di Bonto-Bonto, Kecamatan Ma’rang, Pangkep, Sulawesi Selatan.

Kerana bentuk fizikalnya Rizal sering menjadi mangsa buli remaja nakal di kampungnya.

Bagaimanapun, semua itu berubah selepas satu video yang menunjukkan Rizal dibuli dan dipukul sekumpulan pemuda tular di media sosial.

SEDUTAN video yang tular menunjukkan Rizal dibuli sekumpulan pemuda

Dalam video berkenaan, Rizal yang menunggang basikal untuk menjual kueh ditolak hingga jatuh di padang menyebabkan kueh yang dibawanya jatuh di tanah.

 

Tidak cukup dengan itu, seorang pemuda turut memukul Rizal.

Beberapa pemuda lain yang menunggang motosikal hanya ketawa melihat Rizal dibuli dan dipukul hingga terjatuh.

Video berkenaan tular di media sosial hingga mencetuskan kemarahan netizen.

Orang ramai juga dilaporkan berkumpul di depan rumah pembuli berkenaan untuk memukulnya.

Beberapa pengguna media sosial juga berikrar untuk melindungi Rizal sekiranya sesiapa mahu membulinya lagi.

Tidak lama selepas itu, polis Ma’rang mengesahkan seorang pemuda berusia 26 tahun yang dipercayai memukul Rizal sudah ditangkap.

SUSPEK (kanan) yang ditangkap polis

“Pelaku yang dikenali sebagai Firdaus sudah kami tangkap. Mangsa pula mengalami luka di tangan kerana ditolak oleh suspek,” kata jurucakap polis, Sofyan.

Selepas kejadian itu, kediaman Rizal dikunjungi ramai pihak yang memberi kata-kata semangat padanya selain menyampaikan bantuan.

RIZAL menerima sumbangan basikal daripada satu pertubuhan bukan kerajaan

Tarbaru, Rizal ditawarkan biasiswa pelajaran oleh Rizky yang juga Setiausaha Peribadi Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

Rizky yang menghantar wakil bertemu Rizal sebelum membuat panggilan video bagi menyatakan hasrat untuk menyalurkan bantuan wang tunai selain biasiswa pelajaran hingga remaja itu tamat pelajaran di sekolah menengah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *