Terserahlah Indonesia……

Petugas kesihatan di Indonesia hampir putus asa dan melancarkan protes kerana kecewa dengan sikap penduduk negara itu yang tidak mengendahkan arahan kerajaan untuk melawan wabak Covid-19.

Kompas.com melaporkan, media sosial negara itu kini tular dengan gambar bersama mesej tanda pagar #indonesiaterserah.

Seorang doktor, Debryna Dewi berkata, mesej #indonesiaterserah itu bukan menunjukkan petugas kesihatan putus asa melawan wabak Covid-19.

“Ya, memang fokus kita saat ini adalah merawat pesakit Covid-19 tanpa harus memeningkan kepala memikirkan sikap masyarakat sama ada patuh pada arahan kerajaan atau tidak,” katanya dalam program bual bicara Sapa Malam.

Katanya, cara paling efektif memutuskan rantai penyebaran Covid-19 adalah dengan menguatkuasakan arahan lockdown.

Bagaimanapun, sikap kebanyakan penduduk yang tidak mengendahkan arahan itu dan protokol kesihatan lain menyebabkan virus itu terus merebak.

Sementara itu, pakar sosiologi, Imam Prasodjo melihat protes ini sebagai satu bentuk kekecewaan yang diibaratkan seperti orang tua yang sudah penat menasihati anaknya.

“Seperti orang tua yang mendidik anaknya dan berusaha memberitahu apa yang buruk dan jangan melanggarnya. Tetapi anaknya tetap berdegil dan mereka akhirnya berkata, terpulanglah pada kamu,” katanya.

Selain petugas kesihatan, pengguna media sosial Indonesia turut menggunakan mesej berkenaan sebagai tanda protes terhadap sikap sebilangan penduduk yang tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa.

Indonesia kini terus mencatatkan jumlah jangkitan yang tinggi dan ada beberapa kes jangkitan berlaku di rumah ibadat walaupun kerajaan mengarahkan aktiviti di rumah ibadat dihentikan.

Ramai penduduk juga dilihat tidak memakai topeng dan mengamalkan jarak sosial malah keadaan penuh serta sesak di tempat awam menjadi pemandangan biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *