28 tahun bersembunyi dalam hutan

SELEPAS 28 tahun bersembunyi di hutan tebal di Guam, penduduk tempatan terkejut apabila menemui Shoichi Yokoi, askar Jepun berpangkat sarjan yang tidak menyedari bahawa Perang Dunia Kedua sudah lama berakhir.

Pulau seluas 518 kilometer persegi di barat Pasifik itu ditawan Amerika Syarikat (AS) pada 1898 ketika Perang Amerika Sepanyol.

KEADAAN Yokoi ketika kali pertama di keluar dari hutan

Pada 1941 ketika Perang Dunia Kedua, Jepun menyerang dan menawan Guam tetapi selepas tiga tahun tentera AS merampas semula pulau berkenaan.

Kekalahan itu menyebabkan ribuan askar Jepun berundur atau menyerah diri tetapi Yokoi bersama beberapa yang lain terpisah daripada pasukannya.

Kerana tidak mahu menyerah diri kepada tentera AS, Yokoi bersembunyi di dalam hutan dan membina pondok serta tempat persembunyian di dalam tanah.

Yokoi membuat pelbagai peralatan untuk dia tinggal di dalam hutan dan selama hampir tiga dekad dia menunggu kepulangan tentera Jepun serta menunggu arahan seterusnya.

LUKISAN menunjukkan keadaan gua bawah tanah yang dijadikan tempat tinggal Yokoi ketika di hutan

Pada petang 24 Januari 1972, dua penduduk yang memeriksa perangkap udang di sebatang sungai terserempak dengan Yokoi.

Kerana bimbang dibunuh, Yokoi menyerang penduduk itu tetapi mereka berjaya menangkapnya sebelum membawa lelaki itu keluar dari hutan.

Berita mengenai penemuan Yokoi itu mendapat liputan meluas media dan dia kemudiannya dihantar pulang ke Jepun di mana askar itu disambut sebagai wira.

“Agak memalukan kerana saya pulang seperti ini. Kami, askar Jepun lebih rela mati daripada malu kerana ditangkap hidup-hidup,” katanya ketika pulang.

YOKOI menangis sebaik tina di Jepun selepas 28 tahun bersembunyi di Guam

Bagaimanapun, Yokoi berkahwin dengan seorang wanita Jepun dan kembali semula ke Guam untuk berbulan madu.

Yokoi meninggal dunia pada 22 September 1997 pada usia 82 tahun.

Peralatannya yang digunakan di dalam hutan termasuk bajunya kini dipamerkan di Muzium Guam di Agana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *