Kisah Kapal Perang Kebanggaan Hitler

PADA Perang Dunia Kedua, pemimpin Nazi, Adolf Hitler memiliki sebuah kapal perang yang sangat besar dan berkuasa hingga menggerunkan semua musuhnya.

Kapal dikenali sebagai Tirpitz itu mula berlayar pada 1939 selepas hampir tiga tahun dibina dan Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill menggelarnya sebagai “The Beast” dan “Kubu Terapung”.

Ia lebih laju, mampu belayar lebih jauh dan mempunyai meriam lebih berkuasa berbanding mana-mana kapal milik Britain.

Tirpitz memiliki badan yang teguh serta perisai tebal hingga dikatakan mustahil untuk dimusnahkan.

Walaupun ketika itu Hitler kurang pengalaman dalam peperangan di laut tetapi dia sangat menghargai sebuah kapal yang besar dan kesan psikologinya terhadap musuh.

Tirpitz tidak pernah menenggelamkan mana-mana kapal musuh tetapi ia sudah cukup membuatkan Churchill gerun dan bimbang ia mungkin menjadi penentu kemenangan dalam perang berkenaan.

Kapal perang Britain juga pernah beberapa kali membatalkan pelayaran dalam keputusan memalukan kerana bimbang bertembung dengan Tirpitz di lautan.

Keadaan itu menyebabkan Churchill melancarkan beberapa operasi untuk memusnahkan Tirpitz sekali gus melumpuhkan kekuatan armada laut Nazi.

Sejak Oktober 1940 hingga November 1944, Tirpitz menjadi sasaran 24 operasi udara dan laut yang menyaksikan kemahiran tertinggi serta keberanian luar biasa askar Britain.

GAMBAR menunjukkan Tirpitz diserang pesawat Britian dipercayai pada 3 April 1944. – AFP PHOTO / NTB Scanpix

Bagaimanapun, beberapa operasi berkenaan langsung tidak menjejas Tirpitz. Kapal itu juga beberapa kali terkena torpedo tetapi perisainya yang tebal melindunginya daripada kerosakan besar.

Antara operasi paling berani dilancarkan Britain, adalah menggunakan beberapa kapal selam kecil untuk menyelinap masuk ke pelabuhan Nazi yang penuh dengan periuk api bagi meletupkan Tirpitz.

Hanya satu misi menggunakan enam kapal selam kecil dikenali sebagai X-craft berjaya meledakkan bom di badan Tirpitz.

Letupan itu menyebabkan Tirpitz rosak tetapi masih terapung dan mengambil msa tujuh bulan untuk dibaiki.

Serangan itu menandakan permulaan kemusnahan Tirpitz dan beberapa operasi selepas itu melemahkan kapal kebanggaan Hitler itu.

Pada November 1944, Tirpitz berlabuh di Pulau Haakoy di Norway dan ini membuka peluang untuk memusnahkan kapal itu kerana ia terletak berhampiran dengan pangkalan udara tentera Britain di Scotland.

Ketua pegawai pemerintah pengebom Tentera Udara Diraja Britain, Arthur Harris diarahkan untuk memusnahkan Tirpitz.

Pada pagi 12 November 1944, 32 pesawat pengebom Lancasters dikenali sebagai The Dambusters dari skuadron 617 dan 9 menghampiri pulau itu dengan membawa bom dikenali sebagai Tallboy seberat 5,443 kilogram yang direka mencetuskan efek gempa bumi.

Bom Tallboy yang digugurkan kena tepat pada Tirpitz ia menyebabkan kapal itu diselubungi asap tebal dan terbakar.

Serangan kedua mencetuskan letupan besar yang menyebabkan meriam Tirpitz terbang setinggi berpuluh meter.

Dalam tempoh 11 minit selepas bom pertama meletup kapal itu terbalik dan tenggelam.

Kira-kira 2,000 kru mati sama ada dalam letupan berkenaan dan terperangkap dalam kapal yang terbakar.

Keadaan Tirpitz yang karam

“Memusnahkan kapal ini akan mengubah keseluruhan peperangan di laut. Kehilangan 100 mesin dan 500 askar adalah berbaloi,” kata Churchill.

Ramalan Churchill juga benar, kejayaan memusnahkan Tirpitz melemahkan semangat tentera Nazi sebelum ia ditewaskan dalam perang berkenaan.

Kisah epik Tirpitz dan operasi memusnahkan kapal itu juga diabadikan dalam beberapa filem Hollywood.

Kini bangkai kapal Tirpitz boleh dilihat terdampar di tepi pantai di Pulau Haakoy dan menjadi antara tarikan pelancong ke sana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *