Ditahan buat `prank’ dijangkiti Covid-19

Bone: Seorang wanita ditahan polis selepas membuat `prank’ terhadap petugas kesihatan di Bone, Sulawesi Selatan, Indonesia dengan mendakwa dijangkiti virus Covid-19.

Kompas.com melaporkan, wanita berusia 20 tahun itu ditahan selepas bergurau dengan bebarapa rakannya dan petugas di Rumah Sakit Tenriawaru.

Sedutan video Kompas.TV

Jurucakap polis Bone, Mohammad Pahrun berkata, dalam kejadian pada Jumaat lalu wanita itu dan tiga rakannya pada mulanya berhibur di sebuah pusat hiburan.

Katanya, secara tiba-tiba wanita itu pengsan dan badannya kejang-kejang serta sesak nafas.

“Melihat keadaan itu, rakan-rakannya segera membawa wanita itu ke hospital untuk rawatan lanjut.

Suspek wanita yang ditahan

“Apabila tiba di hospital, wanita itu sedar dan dia memberitahu dia mungkin dijangkiti Covid-19 kerana kontak rapat dengan abangnya yang positif virus itu.

“Petugas hospital kemudiannya membawa wanita itu ke bahagian khas dan merawatnya mengikut protokol Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati wanita itu tiada tanda-tanda dijangkiti Covid-19.

“Petugas kesihatan juga menghidu bau arak dan mendapati wanita itu berpura-pura pengsan apabila melihat dia membuka sedikit matanya.

“Kerana mengesyaki wanita itu berpura-pura, petugas kesihatan meminta rakan-rakannya membawa dia pulang.

“Ketika berjalan menuju ke kereta, wanita itu tetiba-tetiba ketawa dengan kuat dan berkata “Aku `prank’ kamu semua,” ujarnya.

Menurut Pahrun, pihak hospital kemudiannya membuat laporan polis.

Pahrun berkata, tindakan wanita itu bukannya sahaja menipu tetapi dia menyebabkan pembaziran kelengkapan, masa dan tenaga petugas hospital.

Tambahnya, wanita itu disiasat kerana menyebarkan berita palsu dan menyebabkan kebimbangan awam dan berdepan hukuman penjara 10 tahun jika didapati bersalah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *