`Prank’ edar bantuan berisi sampah, Youtuber diburu polis
Seorang Youtuber di Indonesia diburu polis selepas membuat `prank’ dengan mengedarkan bantuan yang mengandungi sampah dan batu kepada beberapa individu.
Youtuber Ferdian Paleka dan beberapa rakannya mencetuskan kemarahan orang ramai selepas menyiarkan video dia menyampaikan bantuan berisi sampah dan batu di Bandung baru-baru ini.

Kompas.com melaporkan, pihak polis sudah menyerbu rumah Ferdian tetapi pemuda itu tiada di rumah dan dipercayai sudah melarikan diri.
Dalam video berkenaan, Ferdian dan beberap rakannya dilihat mengorek tempat sampah dan meletakkan makanan dibuang seperti tauge busuk ke dalam beberapa kotak.
Mereka kemudiannya menaiki kereta dan mengedarkan kotak itu kepada beberapa individu yang ditemui di tepi jalan.

Selepas video berkenaan dikecam teruk pengguna media sosial, Ferdian segera memadamkannya di Youtube dan Instagram miliknya.
Bagaimanapun, beberapa individu yang menerima bungkusan daripada Ferdian membuat laporan polis.